My Photo
Name:
Location: 71350, Kota ,Rembau, Negri Sembilan, Malaysia

Kata Allahyarham SN Usman Awang,seseorang hanya layak di gelar penulis setelah berani menyatakan sikap. Saya, hanyalah seorang penulis kerdil yang cuba-cuba hendak mengikuti jejaknya para sahabat, belum tentu tahu dapat atau tidak. Seorang anak yang cuba-cuba hendak membahagiakan ibunya namun belum pasti sama ada mampu atau tidak. Seorang pendosa yang cuba mencari jalan kembali bertemu tuhan dan berharap-harap agar ada belas Allah mengampunkan dirinya yang banyak berbuat khilaf dan dosa.

Thursday, October 19, 2006

Antara Salina dan Tegar


Saya membaca Salina sudah agak lama. Tahun 1984 barangkali, saya masih di darjah empat pada ketika itu. Ibu mengatakan buku Salina itu tulisan Sasterawan Negara Pak Samad Said, maka saya pun bacalah, di luar pengetahuan ibu. Kali pertama saya cuba ‘menghadam’ karya sastera Pak Samad itu, saya rasakan isi dan bahannya terlalu dewasa buat saya. Namun saya gagahi juga menghabiskan karya itu. Sejujurnya pada usia yang sehijau itu, karya Pak Samad itu masih belum dapat saya nikmati dengan selera yang menyetujui kebagusan buku itu.
Saya baru berumur sepuluh tahun pada ketika itu. Apalah yang mampu di fahami oleh seorang anak yang sekecil itu tentang dunia kampung setinggan dan permasalahannya. Malah diwaktu itu, cuba-cuba pula hendak menghadam karya yang sebesar Salina. Setelah mencapai umur yang matang dan dewasa, saya menilai sendiri tindakkan saya pada waktu itu sebagai tidak wajar. Saya fikir seorang anak pada ketika umur yang ‘semuda itu,’ masih belum harus boleh membaca novel-novel yang membawa pengertian dan pengajaran yang sebesar sejarah pembangunan negara itu sendiri.
XXXXXXXXXXSaya hanya mengajar diri saya membaca karya-karya besar selepas tamat tingkatan lima. Malah setelah masuk ke tingakatan enam, bacaan yang di wajibkan untuk kertas sastera pada ketika itu adalah dua magnum opus , Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Sejarah Melayu. Saya mengambil optional Drama Anak Tanjung dan Salah Asuhan. ( kalau tidak salah saya, cerita ini sudah lama. Saya sudah lupa)

Sayangnya ketika masuk tahun kedua tingkatan enam, saya menerima panggilan untuk ke ITM, Arau, malah kembali kejurusan asal pelajaran saya. Saya di terima sebagai pelajar Kejuruteraan Elektronik, mengambil minor Instrument, dibawah kod asas Pra Sains Kejuruteraan selama dua semestar.

Ya, dari bidang sastera saya melompat kembali kealiran Kejuruteraan.
Empat buku sastera itu saya bungkus dan saya letak dalam kotak. Sudah. Saya memberitahu diri. Pelajaran Sastera saya hanya sampai di situ. Tidak saya sedari bahawa di belakangan waktu, pelajaran-pelajaran di bidang sastera itulah yang membukakan pintu rezeki saya di bidang penulisan.

Sekian tahun saya menyetujui didalam minda sendiri bahawa seorang anak tidak harus membaca novel-novel yang tebal kerana kapasiti fikiran dan kemahuan untuk menghabiskan bacaan tidak wujud dalam jiwa seorang anak.

Saya nyatalah mengambil jalan fikir yang salah. Fikir itu menjadi subur didalam diri saya lalu bertukar menjadi KEPERCAYAAN.

Sehinggalah saya menghadiri kursus yang di anjurkan oleh PTS, saya terkejut dengan kenyataan Puan Ainon,
XXXXX“Eh saudara!, budak-budak sekarang tak mainlah baca buku yang nipis-nipis ni. Mereka hendak buku yang tebal-tebal macam buku kakak-kakak mereka, abang-abang mereka!” saya garu kepala mendengar kenyataan itu. Benarkah?, hati saya tertanya-tanya.

Kerana ingin membuktikan bahawa akan kebenaran kata-kata itu, maka lahirlah didalam diri saya satu iltizam untuk menghasilkan sebuah novel yang barangkali masih mampu di hadam oleh golongan kanak-kanak dalam jangka kedewasaan yang terkawal. Percubaan itu melahirkan TEGAR. Saya tidak tahu apa yang terjadi dengan novel Tegar ini sehinggalah pada suatu hari Jamal, seorang kawan yang kini berkerja sebagai guru agama di sekolah menengah, menghubungi saya..,
XXXXX“Wagihhhhhhh!” jeritnya dari handfone sebaik sahaja saya menyambut panggilannya. Memang resamnya orang negri sembilan memanggil kawannya dengan sebutan itu.
XXXXX“Masyaallah Ustat!, kau kek mano ni?”
XXXXX“Mano lae, kek ghumah la, ha!, banyak bunyi tak ada!, datang ghumah lepas terawikh!”
XXXXX“Aku tak ada transport
XXXXX“Tipu, den nampak van kau kek dopan ghumah”
XXXXX“Van tu tak ado minyak”
XXXXX “Isi air!” jawab Jamal sambil ketawa terkekeh-kekeh.
XXXXX“Apo hal eh”
XXXXX“Sain buku!”
XXXXX“Buku apa?”
XXXXX“Eaeh, tanyo pulak, peminat suruh sain banyak lak ceritanya” Saya garu kepala, nampaknya saya tidak ada helah lagi untuk menghindar ajakkan Ustaz Jamal.
XXXXX“Anak aku yang beria-ia nak jumpa kau, dia suka buku kau tu”Suara Jamal mendatar memujuk saya.
XXXXX“Angah?”
XXXXX“Along, dio yang nak sain tu” beritahu Ustaz Jamal. Hati saya rawan. Tambah-tambah pula di bulan Ramadhan ini. Saya akhirnya menyerah, selepas selesai terawikh ( yang saya buat di rumah) saya ke rumah Ustaz Jamal. Kami berbasa basi seadanya. Sambil makan-makan mee hun yang di sediakan.
XXXXX“Ha Along, ni la kawan ayah yang tulis buku tu,” Along tersipu-sipu. Tunduk. Saya fikir Along merasa berbesar hati kerana saya sanggup datang ke rumahnya.
XXXXX“Ha mana buku yang Along nak tanda tangan tu?” Tanya orang rumah Jamal. Along berlari ke dalam rumah lalu datang semula bersama sebuah buku TEGAR di tangan. Saya menjeling Jamal.

XXXXX“Ha apa yang terjeling-jeling tu, sain”Jamal menghulurkan pennya kepada saya.
XXXXX“Pen kau pen merah, mana boleh guna untuk sain novel, sain buku sekolah boleh la”
XXXXX“Pen merah, pen biru, jangan marah saya tahu, I love you” usik Jamal, saya ketawa kecil mendengar pantun dua keratnya itu. Dalam menandatangani buku itu, fikiran saya sebenarnya masih memikirkan satu perkara yang penting berkenaan buku itu.
XXXXX“Along darjah berapa, Mal?”
XXXXX“Apasal?”
XXXXX“Aku rasa Tegar ni agak dewasa untuk usia Along”
XXXXX“Mana!,” Jamal menyanggah pendapat saya, “Kalau ada novel yang di katakan untuk kanak-kanak inilah novelnya, bahasa bagus, clean, ceritanya straight to the point
XXXXX“Oh, kau dah baca ya?”
XXXXX“Eh!, mestilah. Kawan, kawan juga, tiba masa nak bagi anak aku baca, material yang nak bagi aku kena prove dulu, aku kena baca dulu!”
XXXXX“Kau rasa buku aku ni sesuai tak untuk semua golongan?”
XXXXX“Tak. Cuma Al Quran aje yang sesuai di baca untuk semua golongan. Buku kau?, lagilah, aku kena baca dulu dari depan sampai belakang”
XXXXX“Wah!, buku aku pun kena tapis, ini sudah LPF!”
XXXXX“Maunya tak, nak-nak pulak mat bunga macam kau ni, mana la tau, kau letak tah hapa-hapa punya ayat-ayat cinta kat dalam tu kang, rosak anak aku nanti!” Saya dan Jamal ketawa besar. Orang rumah Jamal menggeleng-geleng kepala dan senyum lalu masuk ke dapur membawa bekas cawan yang sudah di minum.
XXXXX“Cerita kau ni bagus, ada nilai-nilai perjuangan, semangat tak mahu menyerah dan persahabatan. Untuk bacaan kanak-kanak aku bagi enam bintang”
XXXXX“Mana lagi empat?”
XXXXX“Aku nak bagi kat orang rumah aku”
XXXXX“Bagi satu aje dah la”
XXXXX“Aku bagi satu la,” Jamal menoleh kebelakang melihat orang rumahnya, “sorang satu,” beritahu Jamal. Saya dan Jamal ketawa lagi.
XXXXX“Hai, jauhnya cita-cita!”Saya mengutuk Jamal.
XXXXX“Nama pun bintang!” Jamal masih tak mahu mengalah. Perangai nakal Jamal memang tak pernah berubah.
XXXXXXXXXXSaya pulang ke rumah dengan menimbang kata-kata Jamal. Ya, Jamal orang yang terpelajar. Saya tidak tahu sama ada Jamal pernah membaca Salina seawal usia ketika saya membaca Salina, namum perhitungannya dalam menilai karya itu membuatkan saya berfikir semula akan ‘takdir’ yang membuatkan saya membaca karya Salina lewat 13 tahun yang lalu.
Ternyata maksud membaca karya itu, saya fahami setelah berlakunya kejadian ini.

Wau!, 13 tahun di perlukan untuk saya memahami erti yang seringkas ini!.

3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

saya suka stail bercerita awak kali ini panah. nampak ceria dan friendly (bahasa melayunya apa ya? huhuhu org putih celup aku nih!)

Ya, membaca apa sahaja bahan adalah baik bagi membuka minda. walaupun untuk kanak-kanak kecil. tapi kalau novel seperti salina itu lebih baik simpan tinggi atas atap jangan sampai dapat d baca anak2.

maaflah kepada penulis nvl itu. saya tak bermaksud menghina.

8:59 AM  
Blogger Puan Ainon Mohd. said...

Wah! Buku saudara lulus "lembaga penapisan" seorang ustaz? Teringat saya akan komen dalam blog sdr yang pernah kutuk buku saudara, dan kutuk peribadi saudara, teruk-teruk dahulu. Syukur buku saudara diterima baik oleh ibu bapa dan mereka menggalakkan anak-anak mereka membacanya. Itulah perjuangan kita.

6:39 AM  
Blogger e-episode said...

itulah perlunya penulis tu ada blog dan rajin menampilkan diri di khalayak. tegar dan buku-buku pts yang lain saya tahu dan iktiraf sebagai bahan yang berkualiti. baik dari segi kandungan dan bahasa. tegar dan 6 novel-novel jibunsyi (betulkan?) yang lain saya belum baca. tapi saya tetap percaya kandungannya bagus. saya beli tapi saya hadiahkan pada orang lain. saya beli, saya hadiahkan pada junior sekolah lama saya.

tapi saya tak rasa nak baca. sebab dr 'aidh abdullah al-qarni pernah sebut. tak semua benda kita perlu baca. tapi selepas baca blog ni saya masukkan tegar ke dalam senarai perlu baca saya. tulislah lagi.

tapi sahabat kole kacang tu... kalau orang dewasa baca boleh ke?

1:35 PM  

Post a Comment

<< Home