Pan's Labyrinth - Sebuah kisah tragis zaman perang.
Saya jarang menulis ulasan filem. Melainkan jika filem itu menyentuh emosi dan pemikiran saya. Pan’s Labyrinth adalah kisah yang berjaya mengheret fikiran dan imaginasi saya sejauh itu. Membuatkan saya berfikir dan tertanya-tanya sebelum dihujungnya merumuskan kesimpulan.
Pan’s Labyrinth atau tajuk asalnya El laberinto del fauno atau jika diterjemah terus kedalam bahasa English adalah The Labyrinth of the Faunt, menurut hemat saya adalah sebuah filem yang hebat dari segi visual dan persembahan lakon layarnya. Saya menduga pada awalnya Pan’s Labyrinth adalah hasil yang diterjemah semula dari sebuah karya bacaan kepada sebuah karya seni visual dan lakonan. Namun dugaan saya ternyata salah kerana rupa-rupanya Guillermo Del Toro yang juga turut mengarah filem Blade II dan Hellboy, (selepas ini hanya di sebut del Toro ) membina filem ini hasil dari pengaruh sekian banyak dongeng kisah rakyat Mexico dan juga kerana terpengaruh dengan semangat rakyat Mexico sewaktu Perang Saudara Spanish ( 1936-1939).
XXXXXKisah yang berlatar belakangkan era Perang Saudara Spain ini membawa kita berfikir mengenai sebuah kisah yang menuntut pemahaman yang total keatas jiwa dan emosi kanak-kanak.
XXXXXWatak Ofilea ( yang dilakonkan oleh Ivana Baquero) seorang anak yang hidup dalam dunia serba perang, sangat menyentuh emosi saya. Filem yang turut digerakkan dengan kekuatan lagu dodoian, bertajuk A long,long,time ago yang di karang oleh Javier Navarette turut menghanyutkan emosi, membuatkan sebilangan penonton seperti ingin terjun ke dalam dunia kesedihan yang melanda Ofilea lalu mendakap gadis malang itu. Ofilea, gadis manis di dalam kisah ini adalah watak yang melalui kehidupan zaman pra-remajanya dengan hati luluh akibat perkahwinan yang terjadi diantara ibunya, Carmen ( lakonan Ariadma Gil) dan Kapten Vidal (lakonan Sergi Lopez) yang menguasa sebuah perkampungan kecil nun jauh dari bandar di tempat di mana Ofilea dibesarkan. Ofilea, sebagai seorang anak yang patuh dan menyintai ibunya dengan jiwa rusuh mengikuti Carmen ke perkampungan itu dan di situlah bermula segala cerita dunia imaginasi Ofilea.
XXXXXKisah ini walaupun adalah sebuah kisah yang berlatar belakangkan zaman era perang namun dimulai oleh pengarah del Toro dengan sebuah hikayat mengenai seorang puteri yang tinggal berdiam nun jauh di dalam tanah. Kerana keinginannya yang terlalu untuk melihat bagaimanakah rupanya dunia manusia, pada suatu hari setelah lolos dari jagaan para pengawal si puteri berlari membawa diri dan keinginannya ke permukaan dunia. Namun, ternyata dunia yang ingin dilihatnya adalah dunia yang sangat jauh berbeza dengan apa yang diketahui. Si puteri malah menjadi hilang ingatan dan mati setelah beberapa ketika berada di dunia manusia. Sang Raja yang kecewa dengan kehilangan puterinya itu berharap, agar pada suatu hari si Puteri yang disayangi dan ditatang bagai minyak yang penuh itu agar pulang ke kerajaannya. Pulanglah, walau bagaimana bentuk dan zahir dirinya. Hikayat itu kemudiannya di noktahkan disitu dan disambung dengan perjalanan Ofilea dan ibunya bertemu bapa tiri Ofilea, Kapten Vidal.
XXXXXDel Toro secara bijak dan perlahan-lahan kemudiannya membongkarkan siapakah Ofilea yang sebenarnya, memainkan rasa ingin tahu penontonnya sehingga pada suatu tahap penonton secara sedar turut menerima ilusi yang di mainkan oleh Del Toro mengenai siapakah Ofilea yang sebenarnya.
XXXXXSecara pribadinya saya kurang bersetuju dengan idea Del Toro yang menyangupi kenyataan bahawa dunia realiti dan fantasi itu saling berpautan pada satu-satu titik alam. Namun kerana halusnya filem ini dibikin dengan jalinan emosi yang meminta penontonnya agar terjun ke dalam dunia Ofilea, kita akan merasa bersetuju dengan segala khayalannya itu malah sehingga ke akhir kisah ini pun jika penonton masih belum mahu melepaskan kenyataan bahawa dunia fantasi dan realiti itu harus dipisahkan, Del Toro akan sekali lagi mencangkuk tanda tanya di jiwa penontonnya dengan visual terakhir sekuntum bunga yang masih berkembang, mengikat kepercayaan para penontonnya ke dasar fantasi bikinannya sampai bila-bila.
Suatu perkara yang membuat saya menghormati del Toro diatas bikinan filem ini adalah kerana, filem ini menggunakan seratus peratus bahasa Spain. Saya fikir jika filem ini menggunakan bahasa selain dari bahasa itu maka sudah pastilah kisah ini menjadi tidak setrampil seperti yang sepatutnya. Menjauh dari itu, Pan’s Labyrinth malah menerima tiga penganugerahan di pesta filem Cannes pada 2006. Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Sinematografi Terbaik dan Anugerah dandanan Terbaik.
Sesuatu yang harus di fikirkan dengan secara mendalam oleh para pembikin produksi wayang kita yang barangkali masih merasa lemah dan ditewaskan jika berbahasa Melayu.
<< Home