My Photo
Name:
Location: 71350, Kota ,Rembau, Negri Sembilan, Malaysia

Kata Allahyarham SN Usman Awang,seseorang hanya layak di gelar penulis setelah berani menyatakan sikap. Saya, hanyalah seorang penulis kerdil yang cuba-cuba hendak mengikuti jejaknya para sahabat, belum tentu tahu dapat atau tidak. Seorang anak yang cuba-cuba hendak membahagiakan ibunya namun belum pasti sama ada mampu atau tidak. Seorang pendosa yang cuba mencari jalan kembali bertemu tuhan dan berharap-harap agar ada belas Allah mengampunkan dirinya yang banyak berbuat khilaf dan dosa.

Tuesday, October 16, 2007

Bila soal adab di ambil mudah.

Ibu saya, walaupun telah meninggalkan dunia perguruan, tetapi masih seorang pendidik. Ada jurang yang besar antara seorang guru dan seorang pendidik. Guru tugasnya berhenti setelah loceng tamat sekolah berbunyi, tetapi pendidik, ya, pendidik itu sukar, tugasnya hampir sepanjang masa, menuntutnya merubah sesuatu yang terdaya dilakukannya dengan tangan, dengan upaya, dengan tenaganya selagi berdaya.

Kalau dahulu saya hairan dan menganggap ibu hanya sekadarnya melunasi waktu sengang dengan menulis doa-doa dan bacaan untuk kumpulan Yasinnya yang seramai belasan orang itu, namun setelah kejadian yang berlaku pada Aidilfitri yang ke-3, saya sudah dapat menduga sebab mengapa ibu seberapa daya masih mengekalkan sikap pendidiknya. Sikap, yang kadangkala membuatkan saya turut menjadi walah.

Kerana pendidik itu perlu, malah hadirnya mereka ke dalam susuk masyarakat pada saya terpandang sangat perlu untuk mempertahan dan menunjukkan norma-norma yang baik.


Aidilfitri yang ketiga itu, siangnya, teman-teman adik saya yang sudah berkeluarga datang bertandang ke rumah, dan sudah tentunya bersama mereka, ada anak-anak yang masih dalam lingkungan usia yang kecil yang berangkali berumur dalam lingkungan 7 ke 13 tahun. Apa yang membuat hati saya digaru sedikit geram adalah kerana anak-anak yang kecil itu tidak diawasi dengan sewajarnya. Barangkali ibu-bapa muda ini merasakan bahawa hari raya adalah hari yang harus menerima tetamu dengan hati terbuka, maka anak-anak mereka, dibiarkan, dengan sewenang-wenangnya.

Bunga-bunga ibu yang indah yang dijaga ibu hampir tiga empat tahun di keronyok tangan anak-anak ini dengan semahu-mahunya, tidak kira yang lelaki mahupun perempuan. Mujur ibu berada di dalam rumah, barangkali di dapur menyediakan juadah, kalau tidak, entahlah, barangkali parah jua hati tua ibu melihat perbuatan lepas laku yang seperti itu. Tidak cukup dengan itu, tanpa izin, basikal anak saudara kami diperlakukan seperti Mat Rempit memperlakukan motor. Mujur adik saya ada melihat, maka lekas-lekas basikal itu disimpan untuk mengelakkan pertelingkahan dan kerosakkan. (Basikal hanya satu jadi faham-faham sahajalah, jika seorang menunggang dan yang lain memerhati). Di dalam rumah pula anak-anak ini kelihatan berlarian kesana kemari sehingalah akhirnya ibu yang sudah tidak tahan lagi, mengeluarkan sifat-sifat 'pendidik'nya terhadap anak-anak yang keras kepala ini.

Seorang demi seorang diperlakukannya seperti seorang guru sekolah memperlakukan murid. Dari memerintah basuh tangan sebelum makan sehinggalah bersalaman dengan seluruh tetamu sebelum pulang rumah. Aneh, anak-anak ini ada pula yang bertanya,

“Kena buatkah?”
“Kenapa kena buat begitu begini?”

Seolah-olah mereka ini tidak diajar berbudi bahasa dan beradab jika kerumah orang. Aneh, apakah ayah dan ibu mereka tidak memperkasakan anak anak yang bertanya ini dengan disiplin atau sekurang-kurangnya adab bertamu kerumah jiran? Atau adakah anak ini sebenarnya tahu namun masih merasa janggal melakukannya? Mengapa terjadi begitu?

Saya fikir jawapannya adalah didikkan. Saya masih ingat leteran ibu pada saya dan adik-adik sewaktu kecil dahulu jika bertamu kerumah jiran. Jangan hendak merengek, jangan bergaduh, jangan mengusik(membuka atau menutup siaran) televisyen dirumah jiran, jangan meminta air atau makan(sebagai satu sikap yang tidak menyusahkan tetamu) apa-apa sahaja jika ke rumah teman teman ibu. Malah jangan hendak mengada-ngada hendak ke bilik air!, Jika hendak buang air kecil atau besar, lakukan di rumah sendiri dahulu sebelum ke rumah teman-teman ibu itu. Jika ditanya oleh orang tua barulah menjawab, itu pun dengan hati-hati, jika tidak ditanya jangan menyampuk. Diamkan diri seperti patung. Aduh! alangkah sukarnya saya merasa pada ketika itu.

Namun, setelah kedewasaan dan kematangan sikap mengusai diri, barulah hari ini saya mengerti bahawa tujuan ibu berbuat begitu hanya satu, membina sempadan diri yang sopan dan beradab. Sikap anak-anak sesungguhnya adalah cerminan sikap orang tuanya. Bagaimana anak itu membawa diri, begitu jugalah masyarakat akan dapat mengagak sikap ibu bapanya terhadap sekitaran. Dari cara berpakaian, bertutur, bertindak dan sebagainya.

Laku menjaga sempadan diri inilah yang saya lihat sangat kurang pada anak-anak yang bertandang itu. Akhirnya anak-anak ini dibiarkan bersikap dan berlaku yang sewenang-wenangnya seperti merosakkan bunga, memecahkan pinggan dan kaca (memanglah tanpa sengaja!),bergaduh dan sebagainya kerana sebilangan kita merasa bahawa anak-anak itu LUMRAH berbuat yang sesuka itu. Malah lebih malang lagi buat tuan rumah yang teraniaya itu, sebilangan kita merasakan tidak mengapa, dan menganggap sendiri-sendiri bahawa tuan rumah atau tuan punya harta bisa sahaja memaafi perbuatan anak-anak yang terlepas laku ini.

Persoalan ini menjengah ke fikiran saya sebentar tadi, lalu soalan-soalan yang menakutkan pun mulalah mencuri-curi mendatangi pemikiran saya. Bagaimana jika di waktu akan datang, anak anak kita hilang segala sopan dan sikap diri yang wajar bila bertandang kerumah jiran? Segalanya dianggap mudah sehingga soal adab dan timbangan budi tidak lagi dipandang berat oleh anak-anak ini.

Adakah selama ini saya tersilap bila menganggap ungkapan “biar mati anak, jangan mati adat” itu sebenarnya sangat penting untuk anak-anak itu memperkukuh intigriti diri sebelum mereka melangkah ke usia yang akhil baligh? Adakah saya seorang yang ketinggalan zaman atau kuno bila mengambil pendirian yang begitu?

Saya berharap bahawa fikir ini tidak disalah anggap atau dimengerti oleh sebilangan kita, bahawa saya mempunyai sikap prejudis terhadap anak-anak.

Tidak. Saya tidak ada perang jiwa dengan mereka.

Yang saya perangi adalah kebiadapan moraliti yang tidak diberi sempadan agama dan pendidikkan yang sewajarnya. Saya malah punya 'perang' kecil untuk melihat sebilangan anak-anak ini tidak rosak terus malah sebaliknya, punyai jati diri yang terpandang luhur dan dihormati oleh masyarakat. Buku kecil siri Sahabat Koleh Kacang adalah medan juang saya, walaupun saya tahu buku kecil kami, (kerana dibuat berdua dengan sahabat saya, Faisal) belum tentu sampai pada semua, namun jauh disudut hati saya, saya berharap, jika tuhan rabulzaljallal menanyakan saya tentang usaha yang saya berbuat untuk mendaikan kebaikkan, saya sekurang-kurangnya berharap, bahawa saya akan terdaya mengangkat kedua-dua tangan dan berkata dengan rendah hati,

“Tuhanku, biarlah kedua-dua tanganku yang berbicara atas kerja kecil yang pernah kulakukan dahulu”

Saya berharap, bahawa pendosa ini, di ampuni.



8 Comments:

Blogger Yang bernama Siti said...

Salam,
Saudara Panah, Selamat Hari Raya.

Entri kali ini saya sokong sepenuhnya. Saya pernah berasa jengkel dan sakit hati apabila anak-anak saudara merosakkan harta benda saya sewenang-wenangnya dan menyepah-nyepahkan rumah, juga mengambil harta benda saya tanpa izin. Peliknya ibu bapa mereka yang juga adik beradik saya sendiri mewajarkan dengan alasan saya ibu saudara mereka.

Memang benar saya amat pemurah dengan anak-anak saudara. Malah saya tidak mengira pertalian darah, jika sudah namanya budak memang saya manjakan dan saya akan berikan hadiah. Namun itu tidak memberikan lesen bagi mereka melanun harta benda saya.

Disebabkan ibu ayah mereka tidak mengajar, jadi saya menjadi seperti ibu saudara, meleteri dan menegur mereka. Jika perlu, saya beri sedas dua cubitan yang memang terkenal bisa ini.

Saya harap bagi yang membaca entri ini akan meneliti kembali perangai anak-anak masing-masing. Ajarlah mereka adab sopan. Jangan kami yang bujang belum beranak ini pula yang lebih arif mendidik anak!

4:40 PM  
Anonymous Anonymous said...

dialog yg biasa di dengar lg mjengkelkan...

"alah...budak2 nak mbesar mmg gitu..."..."kita dlu pun cenggitu jgk!"
"sy mmg biarkan anak2 sy explore sendiri benda2 yg baru..."

sikap "takpa, biarkan" ni patut diubah, bkn semua perkara boleh dibuat "takpa, biarkan"... alamatnya makin kurang bdisiplin le bdk2 zaman sekarang dan akan dtg...hai malaysia! malaysia!...err...melayu! melayu!


~aku lew~

3:33 PM  
Blogger Puan Ainon Mohd. said...

Buatlah chatbox! Senang saya tinggalkan salam...

10:40 AM  
Blogger Latiptalib said...

Panaharjuna,

Didoakan saudara sihat. Gambar2 bengkel semalam dah siap nanti saya siarkan dalam blog saya.

10:33 AM  
Anonymous Anonymous said...

salam saudara,

adab... sesuatu yg kita perlu pertahankan... sebagai 1 nilai yg mencerminkan keperibadian masyarakat timur... terutamanya kaum melayu...

11:31 AM  
Blogger Zamri Mohamad said...

Ayah dulu-dulu ramai garang-garang.
Hmm saya bercakap dengan ayah saya pun selepas masuk tadika hanya beberapa kali sahaja. Sepanjang 26 tahun, komunikasi kami ialah:

Pertama: Kalau sekolah buat lawatan
Kedua: Kalau hendak ke mana-mana
Ketiga: Keputusan peperiksaan

Hmm kalau orang datang, rumah sunyi. Adik beradik semua duduk dalam bilik lepas salam tetamu. Sunyi sahaja rumah, jangankan nak tengok tv masa tetamu datang.

Dalam garang ayah, diajar adab ke rumah orang. Sampai sekarang saya masih berfikir, kenapa ayah sekarang tak garang-garang.

Dulu kami protes juga ayah garang, sekarang kami berterima kasih kerana sikap garang ayah.

Hmm kalau saya jadi ayah, garang ke tidak. Entahlah...

7:58 PM  
Blogger Amyz! said...

saya suka entri ni. jengkel sekali melihat kanak-kanak yg spoil kerana dimanjakan ibubapa sehingga lupa untuk mengajar menghormati orang tua.

12:24 AM  
Blogger sangchinok said...

Aku tempik je bebudak tu, Panah ooi..! Aku peduli hapa, kami adik beradik, mak-pak sedara masing-masing dah tahu dah, anak aku, anak kau, anak kau, anak aku. Anak orang sebelah pun kena!

Kalau sedara-mara, adik-beradik kecik ati, payah lah sikit. Tunggu raya tahun depan la mintak maaf.

Tapi sebetulnya, itulah tugas pakcik, makcik, dan anak gondang (kalau ada), tolong mendidik anak-anak sedara dan mak-pak sedara yang belum cukup umur tu.

Kalau perasan lah, sekarang budak lelaki umur 15 tahun bawak anak patung (action figure, konon!) ke sekolah!

Bila nak matang tu?

9:31 PM  

Post a Comment

<< Home