My Photo
Name:
Location: 71350, Kota ,Rembau, Negri Sembilan, Malaysia

Kata Allahyarham SN Usman Awang,seseorang hanya layak di gelar penulis setelah berani menyatakan sikap. Saya, hanyalah seorang penulis kerdil yang cuba-cuba hendak mengikuti jejaknya para sahabat, belum tentu tahu dapat atau tidak. Seorang anak yang cuba-cuba hendak membahagiakan ibunya namun belum pasti sama ada mampu atau tidak. Seorang pendosa yang cuba mencari jalan kembali bertemu tuhan dan berharap-harap agar ada belas Allah mengampunkan dirinya yang banyak berbuat khilaf dan dosa.

Monday, September 24, 2007

SENYUM PAGI : KAU INGAT, KAU SORANG AJE YANG ADA ATUK?

Kira-kira 65 tahun yang lalu di sebuah kampung Melayu di pinggir pekan Tampin, adalah seorang hamba allah yang bernama Din Sudu. Ada pun Din Sudu ini tak ada la handsome melainkan rupanya seperti rupa orang kebanyakkan jugalah adanya. Ada pun Din Sudu ini mendapat namanya adalah kerana sewaktu zaman British memerintah Malaya dahulu, si Din Sudu ini rajin membersihkan sudu-sudu makan Tuan British tempat di mana dia bekerja. Entah apa punya minat pun tak tau la. Nak dijadikan cerita, ketika pemerintahan British nak tamat, Tuan British ni teramatlah sedih hendak meninggalkan Malaya. Adapun Din Sudu itu dihadiahkannya sebuah topi berwarna putih yang di pakai oleh tuan-tuan British itu kepada Din Sudu. Din Sudu ni pulak punya perangai, bila dah dapat satu barang pemberian Tuan British tu, dia pun heboh la satu kampung. Cerita sana cerita sini, topi tu pun ke hulu ke hilir la dibawaknya. Maklumlah, barang orang putih! Asal jumpa aje orang kampung, dia pun mula la bukak cerita pasal topi yang dipakainya, ke mana-mana pergi topi tu la yang dipakainya, hatta ke masjid pun!, orang lain pakai songkok dia pakai topi British tu. Masyaallah!…

“Aku ingat aku panggil kau Din Topi pun bagus jugak la!” Satu hari pasal dah tak tertahan dengan sikap Din Sudu, Tok penghulu pun sound la direct si Din Sudu ni sewaktu mereka sedang sarapan pagi di sebuah warung popular.

“Apasal?” tanya Din Sudu, tak puas hati.

“Ye la ke hulu ke hilir dengan topi jer, asal berjumpa engkau, cerita lain tak ada melainkan cerita topi kau tu, apa? hebat sangat ke topi kau tu Din?”Sound Tok Penghulu lagi. Merah padam la muka si Din kerana di sound tok penghulu depan orang-orang kampung yang kebetulan sedang minum di warung kopi pagi tu.

“Aik Tok penghulu macam dengki jer dengan topi saya ni?”

“La!, kesitu pulak kau ni, aku tegur kau ni supaya kau tu insaf sikit, kau tu aku tengok kehulu kehilir dengan topi kau tu aje, kerja pun tak ada, kau tu dah kawin, dah ada anak, cari la rezeki lebih sikit bila bekerja, kampung ni, berlambak kerja sampai tak terbuat, ha apa lagi, kerjakan la. Tapak tangan aku dah lama gatal nak pegang duit kau Din!” Sound tok penghulu lagi. Tetapi sebenarnya Tok penghulu pun sebab dah geram sangat dia pun bancuh la si Din Sudu. Direct. Sekali lagi, Din Sudu rasa mukanya macam kena tampar dek Tok guru silat, sebab dia sedar yang hutang makan minum kat kedai Tok Penghulu tu dah nak masuk buku yang kelima. Salah-salah kira barang harus buku lima Tok Penghulu pula naik ke mukanya. Kerana peristiwa yang memalukan Din Sudu tu, hilang nama Din Sudu, berganti pula dengan nama Din Topi.

Din Topi insaf, dia pun mula la terpikir nak cari kerja. Dua minggu kemudiannya dia telah berjalan-jalan di sekitar kampungnya untuk mencari kerja-kerja kampung yang hendak dibuat orang, ternyata memang banyak kerja kerja kampung yang memerlukan kudrat dan tenaga. Kebanyakkannya ramai yang meminta Din Topi agar mengupas kelapa. Din Topi pun apa lagi, bekerja la dengan bersungguh-sungguh, selain dari itu, dia turut mencari rebung, sagu untuk dijual. Dan memang lumayan pulangannya. Satu hari setelah selesai bekerja, Din Topi pun duduk la di bawah sebatang pokok kelapa tempat dia bekerja di tepi sawah, kebetulannya ada pulak pokok pinang dua batang, ada pangkin lepak, angin pulak bertiup sepoi-sepoi bahasa, macam best je la pulak. Alih-alih si Din Topi tertidur kat situ dan bila sedar-sedar aje, topinya dah hilang!

“Alamak!, mana topi aku ni?” Din Topi separuh histeria bila mendapati topi yang selalu melekat di kepalanya sudah hilang. Tiba-tiba kedengaran suara monyet menjerit dan mentertawakannya dari atas pokok, bila si Din Topi memandang ke atas didapatinya seekor monyet sedang memegang topi keramatnya itu. Apa lagi, mengamuk la Si Din Topi!

“Hoi Monyet pulangkan topi aku!” Si Din Topi menuding pada monyet, monyet tu tuding pada si Din Topi balik

“Bagi balik la!”jerit Din Topi sambil membaling monyet dengan sebiji buah pinang muda kepada monyet, monyet balas balik dengan baling putik buah kelapa.

“Bagi la!” Din Topi menjerit sambil meloncat-loncat geram, monyet turut meloncat-loncat.

“Bodoh!” Marah Din Topi sambil menyapu peluh di dahinya. Monyet turut mengejek Din Topi sambil menyapu dahinya. Tiba-tiba Din Topi terfikirkan satu benda, dia hendak mencuba satu eksperimen. Mula-mula Din Topi garu-garu tengkuk, monyet pun garu-garu tengkuk, lepas tu Din Topi tampar-tampar kedua-dua pipi, dan monyet pun ikut jugak.

“Hoho, monyet ni mengikut ye!”bisik Din Topi dalam hati, Din Topi kemudiannya mengambil sebuah tempurung kosong lalu diletakkan ke atas kepalanya. Monyet turut mengikut dengan meletakkan topi diatas kepalanya. Din Topi kemudiannya mengambil tempurung diatas kepalanya lalu membuangnya ke tanah, dan monyet turut mengikut dengan membuang topi yang dipakainya ke tanah.

“Hahaha!, akhirnya dapat juga aku topi ni balik!”Jerit Din Topi dengan gembira. Din Topi pun apa lagi, member pun cerita la kehulu kehilir tentang kehebatannya menipu monyet tersebut. Kisah dia menipu monyet tu, diceritakan hampir kepada semua orang dan kali ini Tok Penghulu dah tak larat nak menegah sebab Din Topi telah pun melangsaikan segala hutang-hutangnya, malah bayar cash pulak setiap kali minum di gerai itu. Jadi kisah Din Topi menipu monyet itu pun berterusan selama beberapa tahun malah sehingga Din Topi mendapat cucu. Din Topi tak pernah berhenti, sehinggakan cucunya yang sudah belasan tahun itu pun dah naik boring mendengar cerita Din Topi menipu monyet.

Satu hari ketika Din Topi sedang mandi, cucunya telah mengambil topi kesayangan Din Topi lalu mengenakannya di kepala dan kemudiannya berjalan-jalan di sekitar kampung dengan menaiki basikal. Tiba-tiba cucunya ini terlihat satu tempat di mana tempat itu sangat best dan sangat sesuai untuk berehat. Yea..saudara saudari pembaca, tempat itu adalah tempat di mana Din Topi punya topi pernah dicuri monyet dahulu. Cucu Din Topi, entah mengapa pada hari itu turut merasa hendak berehat-rehat di bawah pokok itu dan seperti datuknya, cucunya ini turut tertidur dan bila sedar-sedar jer..jeng jeng jeng sejarah lama pun berulang kembali!. Topi Din Topi telah dicuri oleh seekor monyet!

“Alamak!, mati la aku kena marah dengan atuk aku!” jerit cucu Din Topi. Dan ke manakah tumpahnya kuah kalau tidak ke roti canai?, macamana perangai Din Topi macam tu la juga perangai cucunya. Bermacam cara dibuat oleh cucu Din Topi, tetapi monyet itu hanya mengejek setiap perbuatan cucu Din Topi. Tiba-tiba cucu Din Topi teringat mengenai kisah datuknya.

“Ha!, apa kata kalau aku trick monyet ni macam dulu?” Cucu Din Topi pun mengambil tempurung dan meletakkan di atas kepalanya, monyet mengikut, tetapi bila Cucu Din Topi membuang tempurung yang di atas kepalanya ke tanah, monyet itu tidak mengikut pula. Cucu Din Topi kehairanan, dicubanya trick itu berkali-kali, tetapi monyet itu hanya tersenyum memerhatikan cucu Din Topi, akhirnya cucu Din Topi pun give up, dia pun duduk di bangku pangkin di bawah pokok kelapa itu. Setelah melihat cucu Din Topi dah surrender, monyet yang berada di atas pokok itu, perlahan-lahan menanggalkan topi Din Topi lalu meletakkannya elok-elok di suatu tempat di antara celah-celah pelepah pokok kelapa itu. Monyet itu kemudiannya turun perlahan-lahan lalu menghampiri cucu Din Topi dan kemudiannya membisikkan sesuatu ke telinga cucu Din Topi,

“KAU INGAT, KAU SORANG AJE YANG ADA ATUK?”

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

hahahahaha
adapun kesahnya...


~aku lew~

7:09 PM  

Post a Comment

<< Home